Wednesday, February 23, 2011

Pengguna internet perlu peka ancaman siber: SKMM






Kurang pendedahan punca pelajar, remaja tidak peka ancaman guna internet


24th February, 2011


SANDAKAN: Kurangnya pendedahan bahaya dan ancaman siber di kalangan pelajar dan remaja menyebabkan golongan tersebut tidak peka terhadap ancaman yang wujud dalam penggunaan internet.


Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Bukhari Yahya berkata, pengetahuan dan kesedaran berkaitan jenayah perlu dipertingkatkan di kalangan pengguna internet sebagai langkah untuk menangani ancaman internet yang semakin berleluasa.


Katanya, kadar jenayah komersial dan bukan komersial yang melibatkan medium internet turut meningkat pada masa kini berikutan pertambahan bilangan pengguna internet dari semasa ke semasa.


“Jenayah ini membabitkan penipuan yang bertujuan untuk memerangkap pengguna yang alpa dan tidak peka terhadap perkembangan semasa kecanggihan alam siber.


“Perlu diingat bahawa ancaman siber masa kini telah membawa kemusnahan membabitkan perniagaan, kerajaan selain infrastruktur kritikal seperti institusi kewangan, industri pengangkutan dan kesihatan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Kesedaran Keselamatan Dalam Internet di 2 Inn 1 Hotel, di sini, kelmarin.


Program anjuran SKMM itu dihadiri seramai 80 peserta terdiri daripada kakitangan kerajaan dan bukan kerajaan.


Bukhari turut mengingatkan pengguna internet agar meningkatkan tahap kesedaran mereka dan lebih bersedia menghadapi sebarang ancaman serta bahaya internet dalam era globalisasi.


Mengenai program itu, Bukhari berkata, ia bertujuan memberi kesedaran mengenai penggunaan internet yang kini menjadi nadi kepada telekomunikasi di setiap pelusuk dunia tanpa mengira sempadan.


Di samping itu, katanya, seminar tersebut turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai jenayah siber yang semakin berleluasa menerusi tiga kertas kerja yang dibentangkan dalam seminar berkenaan.


Sementara itu, ketika berucap merasmikan majlis, Pegawai Pelajaran Daerah Sandakan, Sharif Mahada Sharif Attar berkata, program seumpama itu perlu diteruskan dari semasa ke semasa memandangkan lebih banyak perkembangan baru mengenai dunia siber akan timbul.


Beliau menasihatkan pengguna internet khususnya di daerah ini agar patuh terhadap peraturan-peraturan berhubung penggunaan internet yang telah ditetapkan.


Hadir sama, Timbalan Pengarah SKMM cawangan Sandakan, Aaron Tan dan Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Jeffery Aman.




http://www.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/46560


http://www.skmm.gov.my/


http://www.sabahbroadband.com/


0 comments:

Contact Me

Snap & Read with QRCODE Reader

http://zxing.appspot.com/generator/